Terengganu Darul Iman

Istana Maziah  Pulau Kapas  Tasik Kenyir  Masjid Kristal  Muzium Terengganu  Pasar Besar Payang  Pulau Perhentian  Pulau Redang  Masjid Terapung

Destinasi Pilihan - Pantai Merang

Pantai Merang menjadi pilihan sebagai destinasi yang perlu dikunjungi untuk artikel kali ini, Lokasinya terletak di daerah Setiu, Terengganu. Mungkin ramai pengunjung yang keliru dengan nama "Merang" dan "Marang". Kedua-dua nama ini adalah daerah atau kawasan yang berbeza di mana Merang terletak di Daerah Besut dan Daerah Marang Terletak Diantara Daerah Kuala Terengganu Dan Daerah Dungun.


Merang menjadi destinasi para pelancong yang ingin menaiki bot untuk ke pulau-pulau seperti Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah kerana jeti untuk ke pulau-pulau ini terletak di Merang.Pantai Merang mempunyai keunikkannya yang tersendiri kerana pantainya sangat panjang sehingga 30 kilometer dan disusuli pantai yang indah serta bersih. Disini juga terdapat tempat penginapan yang ekslusif seperti The Aryani, Sutera Beach Resort dan Merang Suria Resort.

Pantai Merang merupakan pertemuan di antara Sungai Merang dan Laut China Selatan, oleh kerana itu,pembinaan pemecah gelombang besar telah dilakukan sepanjang pantai untuk mengelakkan sebarang kejadian ombak kuat berlaku. Pembinaan ini telah menghasilkan sebuah lagoon buatan manusia dan menambahkan lagi keindahan yang terdapat di Pantai Merang ini

Destinasi Pilihan - Pantai Teluk Bidara

Destinasi Pilihan untuk artikel kali ini ialah Pantai Teluk Bidara. Untuk makluman sahabat pengunjung sekalian, Pantai Teluk Bidara merupakan pantai yang tercantik di Pantai Timur. Air laut yang jernih akan menyambut kedatangan anda ke pantai ini.

Dari pantai ini anda akan dapat melihat pulau-pulau seperti Pulau Tenggol & Pulau Nyireh dimana ianya menjadi lokasi pilihan untuk mereka yang gemarkan aktiviti skuba. Pantai Teluk Bidara ini terletak di Daerah Dungun dan mengambil masa kira-kira 1 jam perjalan dari Kuala Terengganu.

Disini disediakan kemudahan untuk aktiviti riadah dan yang penting, di pantai ini disediakan pondok yang tinggi untuk memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat keindahan alam ini.

Pengunjung boleh datang kesini nersama keluarga & rakan untuk berkelah atau beriadah. Saya pasti anda akan berasa tenang disini. Lupakan seketika kesibukkan kota dan bandar,rehatkan minda tenangkan jiwa di Pantai Teluk Bidara....

Selamat Beriadah !!

Makanan Pilihan - Sate Jabi

Jika di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan peminat sate boleh ke Kajang untuk menikmati sajian itu, di Terengganu lokasi tumpuan untuk orang ramai menikmati sate ialah di Jabi.Bagi mereka yang tinggal di sekitar daerah Besut, Jabi bukanlah lokasi baru bagi mereka untuk menikmati sate.

Keenakan sate Jabi menjadi tumpuan penduduk dari negeri ini setiap kali mahu menikmati sajian tersebut.Lokasinya di Kampung Baket, Jabi di mana terdapat tiga buah gerai yang menjual makanan itu.Pengunjung boleh memilih untuk ke gerai yang disukai memandangkan rasa dan keenakan setiap gerai berbeza.

Terletak kira-kira 80 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu, pengunjung hanya perlu mengambil masa selama satu jam untuk ke kawasan tersebut.Tidak perlu risau tersesat atau tidak menemui gerai sate berkenaan kerana apabila sampai sahaja di perkampungan tersebut, sebut sahaja sate Jabi pasti ramai yang ringan mulut untuk menunjukkan arah.
Jika tidak, lihat sahaja deretan kenderaan yang diletak di bahu jalan sejauh lebih kurang 500 meter pasti di situlah lokasinya.Antara sate yang terkenal ialah Sate Lanang dan Sate Mastura. Kebiasaannya, gerai menjual sate ini dibuka selepas tengahari. Antara sate yang dijual ialah sate ayam, sate daging, satay pedal dan hati. Uniknya, satay ini disediakan dengan sambal untuk dicampurkan ke dalam kuah

Budaya & Warisan - Permainan Wau

Permainan wau adalah permainan tradisional masyarakat di terengganu. Aktiviti riadah ini kebiasaannya berlangsung mengikut musim iaitu ketika musim berangin. Mereka akan menyiapkan wau mengikut kepandaian masing-masing. Selain dari mempunyai rangka wau yang kuat dan tahan, mereka juga mencipta bentuk hiasan yang menarik untuk menarik perhatian penonton yang hadir.Pembuat wau bukan sahaja perlu mahir dalam pembuatan wau, malah mereka perlu mahir dalam mengawal dan menerbangkan wau kerana dalam sesuatu pertandingan, pemenang akan dipilih berdasarkan ketinggian jarak wau itu diterbangkan selain dari aspek kecantikkan dan keceriaan.


Ketinggian diukur melalui alat pengukur dan diperhatikan oleh seorang hakim. Hakim akan mencatitkan ketinggian wau tersebut. Wau cantik pula melihat kesenian corak dan senireka yang dibuat.Wau yang baik akan terus melayang ke udara tanpa jatuh dan boleh melayang ketahap paling tinggi

Makanan Pilihan - Telur Penyu

Disebabkan terlalu banyak makanan yang terdapat di terengganu ni, saya hampir terlupa untuk masukkan artikel tentang makanan yang menjadi pilihan di negeri terengganu ni, tak lain tak bukan ia adalah telur penyu.Telur penyu ni bukanlah makanan yang popular disini, tapi kebanyakkan pelancong yang datang mesti mencari telur penyu untuk dibawa pulang.Disebabkan usaha untuk mencari telur penyu ini sukar, faktor harga pula menjadi masalah kepada pembeli-pembeli.


Telur penyu ni mempunyai rasa yang lain dari telur-telur yang selalu kita makan seperti telur ayam, telur itik dan telur angsa. Kulit telur penyu lembut sahaja tapi susah untuk dipecah. Telur penyu dijual dalam 2 jenis iaitu yang rebus dan yang mentah. Kebiasaanya, telur mentah yang dijual bewarna kekuningan kerana disaluti pasir manakala yang sudah direbus berwarna putih. Telur yang sudah direbus berasa sedikit masin dan telur kuningnya keras seperti telur masin tetapi telur putihnya seperti telur separuh masak. Itulah keistimewaan telur penyu. Jadi, kalau datang ke Terengganu, jangan lupa untuk mencuba.Lokasi kebiasaan untuk mencari Telur Penyu ialah di Pasar Besar Payang.

Makanan Tradisional - Otak-Otak


Otak-otak adalah salah satu makanan tradisional dimana ianya dibuat menggunakan isi ikan berempah.. Otak-otak yang terdapat di Negeri Terengganu berbeza dengan otak-otak yang terdapat di negeri lain kerana disini, ia menggunak 100% isi ikan tanpa campuran bahan-bahan lain.

Otak-otak dihasilkan dari isi ikan (biasanya ikan tenggiri) yang digaulkan dengan campuran berempah termasuk lada, bawang putih, bawang merah, kunyit, serai dan santan. Campuran ini dibungkus dalam daun kelapa dan dibakar. Sekiranya di dibungkus dalam daun pisang, ia dikenali sebagai pais. Ia kebiasaannya dimakan sebagai makanan ringan.  

Rugi kalau tak cuba .....

Destinasi Pilihan - Pantai Penarik

Destinasi pilihan untuk artikel kali ini ialah Pantai Penarik merupakan salah satu lagi destinasi pelancongan yang tidak kurang menariknya yang terletak di daerah Setiu, Terengganu. Mempunyai persisiran pantai yang bersih dan cantik sesuai untuk pengunjung datang bersantai bersama keluarga tercinta.

Di sepanjang pantai ini terdapat deretan gerai yang menjual makanan untuk pengunjung yang berhenti rehat atau berkelah di sini seperti kerepok lekor, ikan celup tepung, sotong celup tepung dan banyak lagi. Anda bolehlah mencuba segala makanan yang dijual disini kerana rasanya pasti sedap.

Aktiviti utama penduduk di kawasan sekitar pantai ini adalah menangkap hasil daripada laut. Nelayan merupakan pekerjaan utama di sini. Bagi anda yang gemar memancing, bolehlah mencuba nasib memancing di sini. Ia pasti menjadi pengalaman yang sangat indah dalam hidup anda nanti. Dari sini juga anda boleh melihat dengan jelas deretan pulau-pulau yang sangat indah seperti Pulau Bidong, Pulau Redang dan Pulau Perhentian
Anda juga boleh bermalam di sini untuk menikmati segala panaroma yang terdapat di sini dengan menginap di Penarik Inn ataupun Nelayan Inn dengan kadar harga yang berpatutan.

Destinasi Pilihan - Pantai Bukit Keluang

Negeri terengganu sememangnya bertuah kerana dikelilingi khazanah dan tempat-tempat yang cukup menarik untuk dilawati. Destinasi pilihan untuk artikel kali ini ialah Pantai Bukit Keluang yang mana terletak kira-kira 140km Utara dari Kuala Terengganu dan hanya beberapa kilometer dari Selatan bandar Kuala Besut. Lokasinya amat strategik untuk mereka yang inginkan ketenangan dan masa riadah bersama keluarga dan sahabat.

Pantai Bukit keluang ini merupakan destinasi yang cukup sesuai untuk aktiviti-aktiviti sukan air seperti berenang, menyelam dan aktiviti perahu layar. Bagi anda yang minat memancing, anda juga boleh memancing di sepanjang pantai Bukit Keluang ini.

Selain daripada itu, anda boleh meneroka gua Bukit Keluang yang terletak berhampiran dengan pantai ini. Samada anda menerokai gua ini secara berseorangan atau berkumpulan,yang pastinya anda akan teruja melihat artifak-artifak yang masih terpelihara di dalam gua ini. Lokasi ini menjadi pilihan keluarga di hujung minggu untuk melihat keindahan matahari terbenam dan saya pasti anda tidak akan dapat melupakan pengalaman istimewa ini.

Selamat Bercuti !

Budaya & Warisan - Pembuatan Bot & Perahu

Tukang perahu tradisional Terengganu terkenal kerana kepakaran mereka yang luar biasa, teknik dan penggunaan bahan yang telah bertahan sekian lama. Mereka mereka bentuk perahu tanpa menggunakan pelan atau lakaran(blueprint) , mereka menggunakan 100% imaginasi dan daya ingatan untuk menyiapkan sesebuah bot ataupun sampan. Melihat hasil yang mereka siapkan memang tidak tercapai akal oleh manusia seperti kita untuk menjangkakan yang mereka menyiapkan bot-bot ini tanpa sebarang bantuan teknikal seperti lakaran atau mesin2 yang canggih.


Kebiasaanya, tukang perahu ini mengabungkan elemen tradisional dan moden dalam mereka bentuk bot-bot disini agar ia kelihatan unik dan menarik selain pengguna kayu yang bermutu tinggi dan tahan lama. Tempahan bukan sahaja dari kawasan tempatan, malah ada diantara mereka yang mendapat tempahan dari luar negeri & negara. Lokasi pembuatan bot-bot ini adalah di Pulau Duyong, Di sini juga menjadi lokasi penganjuran sukan perahu layar antarabangsa yang dikenali sebagai Monsoon Cup.

Sukan & Rekreasi - Jungle Trakking / Perkhemahan

Untuk perjalanan di hutan yang subur di Terengganu merupakan sebuah pengalaman yang sangat menyenangkan kerana hampir 60% dari hutan di terengganu ini masih dilitupi oleh hutan hujan tropika, dan ia amat sesuai untuk aktiviti lasak seperti jungle trakking ,perkhemahan dan lain-lain lagi.

Lokasi yang menarik dan strategik akan menjadi pilihan pengunjung untuk melakukan aktiviti jungle trakking atau perkhemahan . Dan perkara asas seperti berdekatan dengan air sungai @ terjun menjadi keutamaan pada mereka yang gemarkan aktiviti lasak sebegini.Beberapa taman rekreasi seperti Sekayu dan La Hot Spring sudah dilengkapi dengan pondok, tempat BBQ api, ruang ganti pakaian dan kawasan parkir. 

Selain daripada itu, lokasi lain yang sesuai untuk aktiviti sebegini ialah di  Hulu Dungun, Pasir Raja, Tasik Kenyir, dan Gunung Tebu. Bagi mereka yang baru ingin mencuba, Lokasi di Air Terjun Sekayu atau Gunung Tebu amat sesuai untuk anda.

Sukan & Rekreasi - Mendaki Gunung

Mendaki gunung adalah pengalaman yang menakjubkan di Terengganu  kerana sebahagian besar pergunungan di daerah ini dilindungi oleh hutan hujan tropika dan  kaya dengan khazanah-khazanah yang tak luput ditelan zaman. Mendaki gunung di Terengganu ini sememangnya mencabar kerana bentuk permukaan gunung yang curam sememangnya mengundang rasa gerun pendaki-pendaki. Ianya mestilar disusuli dengan teknik-teknik pendakian yang betul dan peralatan yang mencukupi untuk memastikan keselamatan pendaki berada di tahap yang maksima.

Di antara tempat yang menjadi pilihan untuk melakukan kegiatan ini adalah Gunung Tebu di utara Kuala Terengganu, Gunung Angin Utama (1459m) dan Gunung gagau (1376m) di sempadan Terengganu-Pahang yang merupakan tempat yang baik untuk mendaki. Kepada pendaki yang kurang mahir dan baru, disarankan mendapatkan bantuan dari agensi-agensi yang menawarkan perkhidmatan bantuan pendakian untuk mendapat kepuasan yang anda impikan.

Destinasi Pilihan - Pantai Batu Buruk


Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu tidakdapat dinafikan  merupakan pantai paling terkenal di Terengganu, pantai berpasir putih dengan pokok-pokok yang bergoyang ditiup angin pantai yang dingin sentiasa menjadi pilihan pengunjung setiap hujung minggu, Di pantai ini terdapat amaran larangan untuk mandi-manda kerana ia mendatangkan bahaya kepada pengunjung. Kebiasaannya pengunjung yng datang kesini akan bemain layang-layang dan berkelah bersama keluarga rakan-rakan.

Dahulunya di pantai batu buruk terdapat gerai-gerai  yang dipanggil "bundle batu buruk" yang menjual pelbagai pakaian terpakai dan baru. Mereka menjalankan aktiviti perniagaan pada setiap hari jumaat iaitu hari cuti umum bagi negeri Terengganu, namun kini ianya telah dipindahkan ke pantai teluk ketapang.




Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan di pantai ini seperti bermain bola pantai,perminan tarik tali,main layang-layang, dan untuk kanak-kanak, disini juga terdapat taman permainan untuk mereka selain pantai ini berdekatan dengan restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) dan A&W. Jangan lepaskan peluang untuk singgah di Pantai Batu Buruk.

Destinasi Pilihan - PantaiTeluk Ketapang

Pantai Teluk Ketapang menjadi destinasi pilihan untuk artikel kali ini, ianya menjadi lokasi terbaik untuk pelancong yang ingin melihat suasana desa dan kampung kerana di sekitar pantai ini masih terdapat sampan-sampan dan bot yang digunakan para nelayan untuk ke laut menangkap hidupan laut. Berhampiran pantai ini juga terdapat perkampungan nelayan yang masih bertahan dan utuh seperti sediakala.



Pantai teluk ketapang juga terkenal dengan makanan laut seperti sotong,ikan,ketam,udang yang dicelup tepung dan digoreng. Pengunjung boleh menikmati makanan disini sambil menikmati keenakkan air kelapa muda. Pengunjung boleh datang ke pantai ini untuk berkelah,memancing dan aktiviti-aktiviti riadah yang lain.
 
Jarak dari Pusat Bandar Kuala Terengganu ke Pantai Teluk Ketapang lebih kurang 30 km dan mengambil masa 15-20 minit perjalanan dari pusat bandar. Dari Pantai Teluk Ketapang ini, pengunjung boleh melihat dari jauh beberapa pulau terkenal seperti Pulau Redang dan Pulau Bidong. 

Selamat Bercuti !

Destinasi Pilihan - Terengganu International Endurance Park


Terengganu International Endurance Park (TIEP) yang terletak di Lembah Bidong, Setiu ini adalah Trek Lumba Kuda Antarabangsa yang diilhamkan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.Jarak perjalanan dari Kuala Terengganu lebih kurang 40 km. Di sini berlangsungnya kejohanan kuda lasak bertaraf kebangsaan dan dunia.


TIEP mempunyai trek sejauh 180 km yang merangkumi kawasan pantai, tanah beralun, ladang kelapa sawit .Beberapa kejohanan telah diadakan disini seperti Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu dan Kejohanan Kuda Lasak Dunia. TIEP ini mempunyai kemudahan seperti pusat penyimpanan kuda berhawa dingin serta pusat rawatan kuda

Makanan Tradisional - Kuih Mas Sejemput

Kuih mas sejemput merupakan sejenis hidangan kuih tradisional Melayu terutamanya di negeri Terengganu. Kuih ini mempunyai rasa lemak manis yang dihasilkan dengan menggunakan kuning telur yang dimasak dalam air gula, sama seperti kuih jala mas, tetapi mempunyai cara penyediaan dan rupa yang berbeza. 


Kuih mas sejemput disediakan dengan kuning telur yang dipukul sehingga naik sedikit dan diceduk ke dalam air gula yang menggelegak. Selepas beberapa lama apabila masak, adunan itu diangkat dan kemudiannya dijemput dengan tangan kepada bentuk akhir. Kuih mas sejemput mempunyai bentuk yang khusus dan berlainan, seperti tiga segi beropol. Ia biasanya hanya disediakan untuk perayaan istimewa seperti peminangan, perkahwinan dan sebagainya.

Selamat Mencuba !!

Destinasi Pilihan - Pantai Kelulut

Pantai Kelulut terletak di antara Marang dan Rantau Abang.Pantai kelulut ini sesuai untuk aktiviti untuk berenang dan berjemur, pengunjung ke pantai ini akan terpegun dengan keindahan dan ketenangan di pantai ini. Kebiasaanya kita dapat melihat keindahan pantai yang mempunyai panorama rumah-rumah kayu dan klasik ini di dalam gambar sahaja, tapi disini pengunjung dapat melihat sendiri keindahan itu dengan mata sendiri.


Sepanjang perjalanan dari Kuala Terengganu ke Pantai kelulut, anda akan dapat melihat deretan kedai di tepi pantai ini yang menjual pelbagai barangan kraftangan, makanan seperti keropok lekor, sotong kering, dan lain-lain lagi barangan yang menarik untuk dibawa pulang oleh pengunjung.

Pantai Kelulut ini menjadi pilihan penduduk di Marang khususnya kerana ia amat sesuai untuk dijadikan lokasi beriadah bersama keluarga dan teman. Di waktu petang, anda akan dapat melihat anak-anak muda bermain bola sepak pantai, memancing, mandi-manda dan tidak lupa juga ada yang bermain layang-layang bersama anak kecil.






Destinasi Pilihan - Pulau Lang Tengah

Destinasi pilihan yang menjadi pilihan kaki-kaki scuba ialah Pulau Lang Tengah, ianya sebuah pulau kecil yang terletak di antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Perjalanan bot dari jeti Marang ke Pulau kecil ini memakan masa selama 30-minit.

Menurut penduduk tempatan, Lang Tengah mendapat namanya dari perkataan 'Lang' yang bermaksud 'helang'. Dikatakan bahawa Lang Tengah bermakna 'helang yang berehat di pulau tengah'.Pulau Lang Tengah memang bersaiz kecil. Perjalanan bot mengelilingi pulau ini hanya mengambil masa selama 10 minit. Pantai di sini agak sempit dan kawasan tanah adalah terhad.

Saiznya yang kecil juga adalah kelebihannya - Pulau Lang Tengah hanya mempunyai 4 buah resort untuk memastikan percutian anda di sini aman dan tenteram.Jangan lepaskan peluang anda untuk menikmati keindahan Pulau Lang Tengah.

Destinasi Pilihan - Pulau Tenggol

Pulau Tenggol merupakan sebuah lagi destinasi pilihan menyelam yang mempesona dan terletak hanya 45 minit dari persisiran pantai Kuala Dungun di bahagian selatan negeri Terengganu. Pulau ini kecil - hanya 3 km panjang dan 2 km lebar. Bagaimana pun, ini tidak menghalangnya dari dianggap sebagai 'syurga' lebih-lebih lagi di kalangan penggemar aktiviti menyelam skuba.

Pedalaman pulau ini dipenuhi tebing batu yang curam. Bentuk mukabumi yang berbatu ini mengunjur dari pedalaman pulau terus hingga ke laut membentuk pinggir tebing yang curam di bawah laut - seperti dinding kanvas bagi hidupan laut - yang tidak jemu di kunjungi penyelam skuba

Berhati-hati dengan arus deras di Tenggol sekiranya anda menyelam di sini. Kebanyakan sesi menyelam dirancang di waktu perantaraan air pasang-surut, apabila laut lebih tenang. Namun demikian, arus laut mungkin kuat - sesuai untuk selaman hanyut!

Destinasi Pilihan - Istana Badariah

Istana Badariah menjadi pilihan untuk artikel kali ini. ianya menjadi destinasi pilihan untuk dilawati kerana mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Istana Badariah telah didirikan pada hari 22 Januari 1940 bersamaan dengan 12 Zulhijjah 1358H. Istana ini dibina di atas tanah di Padang Seri Negara Mukim Batu Buruk seluas 42 ekar. 


Istana ini dibina pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah iaitu Sultan Terengganu yang ke 13 ( 1920 – 1942 ). Walau bagaimanapun, Baginda tidak sempat bersemayam di istana ini kerana Baginda mangkat terlebih awal. Namun demikian, jenazah Al-Marhum telah dibawa dari istana ini pada hari kemangkatan Baginda. Istana ini dijadikan Renca-Consol semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. 

Istana Badariah telah menjadi tempat bersemayam rasmi Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sultan yang ke 14, ( 1945 – 1979 ). Baginda mangkat di istana ini dan jenazah Al-Marhum telah dibawa dari istana ini ke Permakaman DiRaja di kawasan Masjid Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Istana ini kemudiannya telah dijadikan tempat bersemayam rasmi kepada Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu yang ke 15. Beberapa pindaan telah dilakukan kepada istana ini. Istana yang mempunyai reka bentuk yang menarik dan indah telah menjadi warisan kebangsaan dan pusaka negeri. Di istana inilah menjadi tempat sambutan lawatan tetamu agung mahupun negeri.

Destinasi Pilihan - Masjid Abidin

Destinasi Pilihan untuk kali ini adalah Masjid Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Putih.Sebagai sebuah negeri Islam, maka masjid adalah suatu simbol agama yang dipandang mulia dan suci, selain daripada menjadikan tempat untuk beramal ibadat.Masjid yang penuh dengan sejarah ini terletak ditengah-tengah Bandar Kuala Terengganu.

Bangunan masjid ini pada asalnya merupakan sebuah istana kayu yang didirikan oleh Al-Marhum Sultan Zainal Abidin II  kemudian dalam tahun 1269H/1852M, Almarhum Baginda ( Sultan Umar ) telah mendirikan bangunan baru daripada batu. Bangunan masjid ini telah diperbesarkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III, kira-kira dalam tahun 1319H (1901M ). ( fakta dipetik dari kementerian pelancongan )

Menurut cerita, masjid ini pada mulanya didirikan tanpa tiang di tengah-tengah bahagian dalam bangunan. Dindingnya hanya sekerat dan melengkung berlubang-lubang bagaikan pintu gerbang. Terdapat sebuah binaan kayu yang beratapkan kayu berlian. Terdapat juga enam buah kolah pada masa itu dan setiap satunya berukuran kira-kira dua depa panjang.

Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III, barulah binaan itu dibaiki dan diperbesar seperti mana yang ada sekarang ( sebelum tambahan baru ) dengan ditambah tiang-tiang di ruang tengah bahagian dalam, dinding tembok simen, diadakan sutuh dan tiga buah menara. Pembinaannya pada masa itu dikelolakan oleh Tengku Muda Kemaman ( Tengku Panglima Besar ), dan tukangnya pula terdiri daripada orang-orang Melayu dan juga Cina. Tulisan-tulisan kasar yang terdapat di pintu masuk utama telah ditulis oleh Tengku Abdul Kadir bin Salim, manakala lukisan-lukisan kecil pula dilukis oleh Tuan Haji Abdul Rahman.

Mimbar yang ada sekarang dibuat oleh Encik Badul Kadir. Semasa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, perubahan besar telah dibuat dengan tambahan baru yang hampir sekali ganda luasnya dari bangunan asal dan penambahan alat-alat baru. Selain daripada tempat untuk beribadat, masjid ini juga digunakan untuk pelbagai aktiviti-aktiviti keagamaan.

Budaya & Warisan - Loghat Terengganu

Mesti ramai yang nak belajar sangat loghat negeri Terengganu ni, Kat sini saya senaraikan beberapa perkataan yang sering digunakan oleh rakyat Terengganu ... meh sama-sama belajar...

* awang - Panggilan untuk anak/orang lelaki
* mek - Panggilan untuk anak/orang perempuan
* lawo – cantik
* bekeng – garang
* meroh nyaler -  sangat merah
* ija naung – sangat hijau
* sejuk ketto – teramat sejuk
* itang blettung – tersangatlaa hitamnya
* punoh jahnang – rosak teruk
* busuk kohong @ busuk bango– bau busuk sangat
* nakuk paik –.penakut yg amat
* nano - nakal
* nawok - bohong / tipu
* tinggi nyayuk – sangat tinggi
* masing pekkok – teramat masin
* nipih nayyang – sangat nipis
* maknga – cuai
* babil – degil
* puahsang – boring
* nasan – malas
* abih reng – sehabis kuat
* meppeh – tak larat
* kepeh blepeng – sangat kempis
* takdok aghoh – habis ikhtiar
* beso bappok – teramatla besarnya
* manih letting – sgt manis
* ringang lepung – sgt ringan
* bising banggor – teramat bising
* glekek – ketawe menggelekek
* tagor / plekong / kelong / lepor / handing – baling jer
* musing ketang – mencari-cari
* nusuk – menyorok
* bahang – pukul
* tohok – buang
* nanok – masak nasi
* makang – makan
* jallang – jalan-jalan
* makang gulaa – pergi kenduri
* nerrak – meniarap
* tubik – keluar
* lok je – biar je
* wak lolok – tipu

Ayat-ayat yang sering didengari :

1 ) Mu nok gi duane tu awang ? - Kau nak kemana tu (awang panggilan ganti nama untuk lelaki )?

2 ) Dok rok cettong ngak mu ! - Kau ni tak kuat la !

3 ) Manis letting air sirap ni, pier wak eh ? - Manis sangat air sirap ni, siapa yang buat ni?

4 ) Brape riya sekilo ikang ni pok ? - Berapa ringgit ikan ni sekilo pakcik?

5 ) Doh guane yang lambat sangat tu, aku wase dok dang doh nok gi makang gulaa ! - Kenapa yang lambat sangat ni, aku rasa dah tak sempat nak pergi kenduri tu !

6 ) Wak lolok je - tipu jer 

7 ) Doh mari ah makang, yang mu duk cokoh situ tu bakper? - Jom lar makan, yang kau duk tercegat kat situ kenapa?

8 ) Puahsang eh duk dumoh, gi tubik jallang akboh? - Puasnyer duk kat umah, keluar jalan-jalan nak?

Nak belajar lagi? Datanglar terengganu , pasti anda akan belajar lebih banyak loghat orang terengganu....


Destinasi Pilihan - Pantai Tanjung Jara

Tentu ramai yang teringin ingin berkelah di tepi pantai, bersantai bersama keluarga mahupun beriadah bersama orang yang tersayang. So lokasi kali ini amat sesuai untuk mereka yang inginkan ketenangan. Destinasi pilihan pada kali ini adalah Pantai Tanjung Jara yang terletak di Dungun, Terengganu. Lokasinya berdekatan dengan laut china selatan dan mempunyai pasir yang halus & bersih. 

Lokasi ini amat menarik kerana mereka yang datang ke sini akan berpeluang melihat matahari terbit & terbenam dengan diiringi angin yang bertiup lembut.Pantai ini juga lokasi menarik untuk luncur air, menaiki bot, kayak, menyelam dan pelbagai sukan air lain.Lokasi ini juga menjadi pilihan penyu untuk mendarat,kebiasaannya penyu akanbertelur pada bulan Mei hingga September.

Soal penginapan pula tidak menjadi masalah di Pantai Tanjung Jara , disini terdapat pelbagai pilihan penginapan, dari penginapan 5 bintang, hinggalah ke chalet budget. Perjalanan dari Kuala Terengganu mengambil masa lebih kurang 1 jam dengan menggunakan kereta atau kenderaan awam yang lain.

Selamat Bercuti !!

Menu Pilihan - Air Buah Gelas Besar

Menu pilihan kali ni agak menarik, ianya akan menjadi menu wajib setiap kali saya pulang ke kampung halaman di Kuala Terengganu. Air Buah Gelas Besar di seberang takir memang sudah terkenal dari dulu lagi. Bukan sahaja menjadi pilihan pelancong, malah ianya sudah menjadi bualan ahli-ahli politik, menteri-menteri luar dan golongan artis yang pernah mencuba air buah gelas besar ini. 

Air buah disini boleh dikatakan unik kerana saiz gelasnya yang tersangat besar & pelik. Contonhnya disini terdapat gelas yang berbentuk seperti kasut. Selain daripada itu terdapat beberapa pilihan saiz gelas yang boleh dipilih oleh pengunjung.Disini juga terdapat pelbagai jenis buah-buahan disediakan untuk memenuhi permintaan pengunjung dan mereka boleh memilih untuk mencampurkan pelbagai jenis buah-buahan kedalam 1 gelas minuman untuk mendapatkan rasa yang lain dari yang lain.

Selain dari air buah, mereka turut menyediakan pelbagai jenis makan termasuklah keropok lekor, makanan panas, nasi lemak, nasi minyak, laksam, , nasi dagang dan lain-lain lagi.Lokasinya berdekatan dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu. Sekiranya anda melalui jalan seberang takir ini, pasti anda akan melihat deretan kedai air buah gelas besar di kini & kanan jalan. Selamat Menjamu Selera !!

Budaya & Warisan - Bas Bandar

Mak ! Rumah tu bergerak! .. itu lah ungkapan yang pernah saya dengar tatkala berjalan di sekitar Kawasan Shah Bandar di Kuala Terengganu, mungkin melucukan apabila terdengar ungkapan kanak-kanak berusia lebih kurang 6 tahun itu,namun itulah hakikat yang perlu kita terima di mana sebuah rumah bergerak dan mempunyai roda seperti sebuah bas.Itulah keunikkan negeri Terengganu! Sebuah bas yang dicipta menyerupai sebuah rumah. Keunikan hasil ukiran Melayu yang bermotifkan flora dan fauna kini telah ditingkatan penggunaannya yang dulunya hanya digunakan pada ukiran sesebuah rumah, perahu, perabut malah kini telah diguna pakai dalam membina sebuah bas.

Bas bandar ini kini menjadi tarikan bagi pelancong-pelancong yang datang ke Terengganu. Keunikan dan keistimewaan bas ini telah menarik minat ramai pelancong yang datang ke Terengganu untuk menaiki bas ini yang sememang amat berbeza dengan bas-bas yang ada di Malaysia ini.

Bas Bandar ini juga turut menjadi pengangkutan awam bagi penduduk-penduduk di sekitar Kuala Terengganu untuk ke bandar. Kadar tambang yang berpatutan sememang amat berbaloi dengan keselesaan yang keselamatan yang dijaminkan kepada para penumpang.Selain itu juga, bas ini juga menyediakan kerusi yang diperbuat daripada kayu jati yang telah diukir dengan pelbagai corak.

Budaya & Warisan - Songket

Kain Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak. Perkataan songket berasal daripada perkataan sungkit iaitu teknik menyungkit. Industri tenunan songket ini telah berkembang pesat terutamanya di negeri Terengganu. Bunga atau hiasan di kepala kain di tenun mengikut citarasa penenun. Corak atau ragam hias tersebut dikenali dengan nama-nama seperti tapak manggis, pucuk rebung, lawi ayam dan sebagainya.

Tenunan songket ini dilakukan sebagai industri kecil, yang mana kemahiran seseorang penenun itu mengambil masa selama enam minggu untuk menghasilkan sehelai kain songket yang panjangnya di antara 20 hingga 40 meter. Sesuatu yang mengkagumkan tentang seseorang penenun mahir ialah, dia tidak melakar corak songket di atas kertas sebelum kerja-kerja menenun dilakukan sebaliknya ia tercetus daripada daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi lagi unik.

Pada zaman dahulu songket melambangkan kebesaran. Raja-raja dan pembesar-pembesar istana sahaja yang bekemampuan memakainya. Kegunaannya adalah untuk membuat tanjak, samping, kain selendang dan persalinan diraja. Tetapi di zaman moden songket digunakan untuk pakaian pengantin, perhiasan dinding, beg tangan, alas meja, barang-barang cenderamata dan sebagainya mengikut keupayaan pengusaha untuk mempelbagaikannya.setelah sekian lama perusahaan songket berkembang di Malaysia maka kini corak songket mendapat tempat di hati para arkitek. Terdapat beberapa bangunan pencakar langit telah diterapkan dengan corak songket seperti bangunan Perpustakaan Negara Malaysia.

Budaya & Warisan - Canting Batik

Batik merupakan satu bidang kraftangan yang unggul di Terengganu. Sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden. Untuk Pengetahuan semua,batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa 'tik' yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Ambatik pula bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Di alam Melayu, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenalkan sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Terengganu.

Motif adalah corak-corak hiasan yang digunakan dalam proses melukis atau menerap batik. Bentuk-bentuk motif batik dihasilkan dalam dua bentuk utama iaitu Motif Organik dan Motif Geometrik. Motif Organik berunsurkan alam semulajadi seperti awan larat, tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan, dan haiwan.

Penduduk di Malaysia menggunakan batik secara meluas. Batik digunakan untuk membuat baju, kain sarung atau batik lepas. Sebagai contoh, pakaian seragam pramugari kapal terbang MAS dibuat daripada batik. Batik juga digunakan dalam majlis-majlis formal dan majlis keramaian. Selain dibuat pakaian, batik juga digunakan sebagai hiasan seperti alas meja, cadar, sarung kusyen, tudung kepala, alas televisyen dan lain-lain lagi. Batik boleh dibeli dengan harga yang murah dan berpatutan. Batik begitu digemari pelancong-pelancong asing kerana coraknya yang menarik dan unik. Ia sering dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.

Destinasi Pilihan - Bukit Puteri

Destinasi pilihan pada kali ini adalah tempat yang cukup bersejarah bagi masyarakat terengganu khususnya, Destinasi kali ini dikenali sebagai Bukit Puteri.Lokasinya terletak dihadapan Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu dengan ketinggian lebih kurang 200 meter.Mungkin ramai yang ingin mengetahui sejarah disebalik Bukit Puteri ini.

Pada zaman dahulu, Bukit Puteri merupakan sebuah kubu pertahanan dan juga sebagai menara kawalan terhadap para perdagang dan nelayan untuk masuk ke pelabuhan. Kini fungsinya sebagai kota pertahan telah berubah menjadi kawasan sejarah yang penuh dengan pelbagai cerita misteri dan keunikannya yang tersendiri.

Bukit Puteri telah dikenali sebelum pemerintahan Sultan Zainal Abidin I. Menurut cerita orang-orang terdahulu, Bukit Puteri menjadi tempat kediaman kepada Puteri Bunian. Orang-orang kampung pada waktu itu, gemar bertandang berjumpa Tuan Puteri untuk meminjam pinggan mangkuk bagi mengadakan kenduri keramaian. Namun begitu, ada di antara orang-orang kampung tidak memulangkan semula barangan yang dipinjam itu dan ada juga barangan pecah tidak diganti semula. 

Sikap orang kampung yang tidak amanah telah menyebabkan Tuan Puteri merajuk dan membawa diri ke Bukit Bintang di Besut.Pada zaman pentadbiran Sultan Mansur II, kubu kompleks Istana Maziah telah dibina bersebelahan Bukit Puteri. Wujudnya istana di Bukit Puteri telah meningkatkan kegiatan aktiviti perdagangan yang tertumpu di Kedai Hilir, kawasan Kedai Payang dan juga Kampung Cina.

Sewaktu peperangan antara Sultan Mansur II dengan Sultan Omar berlaku, Bukit Puteri dijadikan sebagai benteng pertahanan bagi menjejaki musuh dan melancarkan serangan dengan lebih cepat.Bukit Puteri yang menghadap ke arah Laut China Selatan telah menjadi mercu tanda dan memainkan peranan sebagai pemandu arah kepada para nelayan serta para perdagang memasuki pelabuhan Kuala Terengganu. Bersesuaian dengan corak hidup penduduk tempatan yang kebanyakannya adalah nelayan menjadikan lokasi Bukit Puteri terletak di tempat yang strategik.

Sejarah Di Tererengganu - Istana Nur Nadhirah

Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejarah terbinanya Istana-istana di Terengganu, kali ini saya ingin berkongsi maklumat sejarah Istan Nur Nadhirah di Kuala Terengganu. Setakat yang diketahui, istana ini telah didirikan pada tahun 1920-an iaitu selepas termeterainya perjanjian Terengganu – Inggeris pada tahun 1919 yang antara lain kandungannya mengkehendaki Kerajaan Terengganu menyediakan sebuah rumah sebagai kediaman rasmi Penasihat Inggeris. 

Semasa pemerintahan Jepun, istana ini dijadikan tempat kediaman Gabenornya Shuchiji Kakha ( Shu Chokan Kakha ) manakala semasa pemerintahan Siam pula ia telah dijadikan tempat kediaman Gabenornya. Selepas Perang Dunia Kedua, istana ini dijadikan tempat tinggal Penasihat Inggeris sehingga Disember 1956. Apabila negara mencapai kemerdekaan, istana ini menjadi tempat kediaman rasmi Duli Yang Teramat Mulia Yang DiPertuan Muda Terengganu. Istana ini telah ditukarkan namanya kepada Istana Nur Nadhirah pada tahun 1998

Budaya & Warisan - Beca


Anda pernah naik beca? Mungkin beca dulu tidak sama seperti beca zaman sekarang, uniknya beca di terengganu ni, ada diantara beca-beca disini sudah dilengkapi enjin untuk meringankan beban si pengayuh beca ini.Pada sesiapa yang belum ada pengalamannya bolehlah mencuba menaiki beca disni. Memang seronok kalau dapat menaiki beca ni kerana kenderaan ini bukan seperti kenderaan awam yang lain, tatkala merebahkan diri di tempat duduk beca ini, pasti kita dapat merasai pengalaman orang dulu-dulu yang menjadikan beca sebagai pengakutan awam utama.Jangan sampai tradisi ini pupus baru mengidam nak naik beca.

Beca masih menjadi pilihan di Terengganu ni terutamanya bagi mereka yang inginkan perjalanan jarak dekat di sekitar bandar Kuala Terengganu kerana tambangnya murah jika nak dibandingkan dengan pengangkutan awam yang lain.Kebiasaannya pakcik-pakcik beca ini setia menunggu pelanggan di hadapan Pasar Besar Payang & Stesen Bas Kuala Terengganu.


 Pasti ramai pelancong yang tertarik dengan beca-beca disini kerana mereka menggunakan kreativiti masing-masing dalam menghias beca mereka untuk menarik perhatian pengunjung. Ada diantara beca disini dilengkapi radio, lampu yang pelbagai warna,bunga, dan macam-macam lagi.Kepada sesiapa yang ingin berkunjung ke terengganu, jgn melepaskan peluang untuk mencuba teksi klasik ini...

Destinasi Pilihan - Bazar Warisan

Salah satu destinasi pilihan yang harus dilawati ialah Bazar Warisan yang terletak di hadapan Pasar Besar Payang, Bazar Warisan ini menyediakan ruang perniagaan bagi peniaga-peniaga barangan tradisional buatan Terengganu seperti songket, batik, sutera, barangan tembaga, kraftangan dan banyak lagi. Kebanyakannya, produk-produk ialah hasil daripada kerja tangan masyarakat terengganu sendiri. Harga yang ditawarkan juga amatlah berpatutan, yang penting pandai tawar menawar.



Bangunan yang mempunyai rekabentuk tradisional ini telah berjaya menarik ramai pelancong yang datang ke negeri Terengganu. Bazar Warisan ini juga menyedikan satu medan selera yang meyediakan masakan panas terutama masakan asli Terengganu.Kepada sesiapa yang  berhajat untuk mendapatkan buah tangan atau cenderahati untuk keluarga atau sahabat, jangan lupa singgah di Bazar Warisan ini untuk melihat barang-barang yang dijual disini.

Budaya & Warisan - Bot Penambang

Pada zaman dahulu, pengangkutan bot menjadi pilihan utama masyarakat di Terengganu kerana Kuala Terengganu terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Kuala Terengganu Utara & Kuala Terengganu Selatan. Sungai Terengganu yang menjadi pemisah kepada dua bahagian ini. Namun kini, setelah Jambatan Sultan Mahmud diwujudkan, pengangkutan air tidak lagi mendapat sambutan. Namun,tradisi ini masih dikekalkan bagi mereka yang masih memerlukan bot sebagai pegangkutan wajib mereka.

Bot penambang amat terkenal dikalangan masyarakat seberang takir dan pulau duyung kerana mereka lebih gemar menggunakan pengakutan air berbanding darat kerana jaraknya lebih dekat. Jeti di Seberang Takir terletak berhampiran masjid tanjung seberang takir. Perjalanan hanya mengambil masa selama 5minit untuk ke bandar.

Kedudukan jeti dibahagian bandar juga amat strategik kerana ianya berada betul-betul dihadapan Bazar Warisan dan bersebelahan dengan Pasar Payang. Ini juga merupakan salah satu sebab mengapa kebanyakan masyarakat sekitar seberang takir dan Pulau Duyung lebih gemar menggunakan penggangkutan ini. Selain itu juga para pelancong juga boleh menggunakan bot penambang ini untuk ke kampung seberang takir yang terkenal dengan aktiviti pemprosesan keropok lekor, ikan kering dan batik. Sememang harga yang ditawarkan lebih murah berbanding tempat lain.

Selain digunakan untuk menghantar penumpang ke bandar, bot penambang ini juga menyediakan perkhidmatan untuk mengililingi sungai terengganu. Dengan menaiki bot penambang ini, para penumpang boleh menikmati keindahan sungai terengganu malah mereka dapat melihat keunikan taman tamadun islam lebih dekat dari sudut yang berbeza.

Related Posts with Thumbnails