Terengganu Darul Iman

Istana Maziah  Pulau Kapas  Tasik Kenyir  Masjid Kristal  Muzium Terengganu  Pasar Besar Payang  Pulau Perhentian  Pulau Redang  Masjid Terapung

Destinasi Pilihan - Pulau Lang Tengah

Destinasi pilihan yang menjadi pilihan kaki-kaki scuba ialah Pulau Lang Tengah, ianya sebuah pulau kecil yang terletak di antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Perjalanan bot dari jeti Marang ke Pulau kecil ini memakan masa selama 30-minit.

Menurut penduduk tempatan, Lang Tengah mendapat namanya dari perkataan 'Lang' yang bermaksud 'helang'. Dikatakan bahawa Lang Tengah bermakna 'helang yang berehat di pulau tengah'.Pulau Lang Tengah memang bersaiz kecil. Perjalanan bot mengelilingi pulau ini hanya mengambil masa selama 10 minit. Pantai di sini agak sempit dan kawasan tanah adalah terhad.

Saiznya yang kecil juga adalah kelebihannya - Pulau Lang Tengah hanya mempunyai 4 buah resort untuk memastikan percutian anda di sini aman dan tenteram.Jangan lepaskan peluang anda untuk menikmati keindahan Pulau Lang Tengah.

Destinasi Pilihan - Pulau Tenggol

Pulau Tenggol merupakan sebuah lagi destinasi pilihan menyelam yang mempesona dan terletak hanya 45 minit dari persisiran pantai Kuala Dungun di bahagian selatan negeri Terengganu. Pulau ini kecil - hanya 3 km panjang dan 2 km lebar. Bagaimana pun, ini tidak menghalangnya dari dianggap sebagai 'syurga' lebih-lebih lagi di kalangan penggemar aktiviti menyelam skuba.

Pedalaman pulau ini dipenuhi tebing batu yang curam. Bentuk mukabumi yang berbatu ini mengunjur dari pedalaman pulau terus hingga ke laut membentuk pinggir tebing yang curam di bawah laut - seperti dinding kanvas bagi hidupan laut - yang tidak jemu di kunjungi penyelam skuba

Berhati-hati dengan arus deras di Tenggol sekiranya anda menyelam di sini. Kebanyakan sesi menyelam dirancang di waktu perantaraan air pasang-surut, apabila laut lebih tenang. Namun demikian, arus laut mungkin kuat - sesuai untuk selaman hanyut!

Destinasi Pilihan - Istana Badariah

Istana Badariah menjadi pilihan untuk artikel kali ini. ianya menjadi destinasi pilihan untuk dilawati kerana mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Istana Badariah telah didirikan pada hari 22 Januari 1940 bersamaan dengan 12 Zulhijjah 1358H. Istana ini dibina di atas tanah di Padang Seri Negara Mukim Batu Buruk seluas 42 ekar. 


Istana ini dibina pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah iaitu Sultan Terengganu yang ke 13 ( 1920 – 1942 ). Walau bagaimanapun, Baginda tidak sempat bersemayam di istana ini kerana Baginda mangkat terlebih awal. Namun demikian, jenazah Al-Marhum telah dibawa dari istana ini pada hari kemangkatan Baginda. Istana ini dijadikan Renca-Consol semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. 

Istana Badariah telah menjadi tempat bersemayam rasmi Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sultan yang ke 14, ( 1945 – 1979 ). Baginda mangkat di istana ini dan jenazah Al-Marhum telah dibawa dari istana ini ke Permakaman DiRaja di kawasan Masjid Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Istana ini kemudiannya telah dijadikan tempat bersemayam rasmi kepada Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu yang ke 15. Beberapa pindaan telah dilakukan kepada istana ini. Istana yang mempunyai reka bentuk yang menarik dan indah telah menjadi warisan kebangsaan dan pusaka negeri. Di istana inilah menjadi tempat sambutan lawatan tetamu agung mahupun negeri.

Destinasi Pilihan - Masjid Abidin

Destinasi Pilihan untuk kali ini adalah Masjid Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Putih.Sebagai sebuah negeri Islam, maka masjid adalah suatu simbol agama yang dipandang mulia dan suci, selain daripada menjadikan tempat untuk beramal ibadat.Masjid yang penuh dengan sejarah ini terletak ditengah-tengah Bandar Kuala Terengganu.

Bangunan masjid ini pada asalnya merupakan sebuah istana kayu yang didirikan oleh Al-Marhum Sultan Zainal Abidin II  kemudian dalam tahun 1269H/1852M, Almarhum Baginda ( Sultan Umar ) telah mendirikan bangunan baru daripada batu. Bangunan masjid ini telah diperbesarkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III, kira-kira dalam tahun 1319H (1901M ). ( fakta dipetik dari kementerian pelancongan )

Menurut cerita, masjid ini pada mulanya didirikan tanpa tiang di tengah-tengah bahagian dalam bangunan. Dindingnya hanya sekerat dan melengkung berlubang-lubang bagaikan pintu gerbang. Terdapat sebuah binaan kayu yang beratapkan kayu berlian. Terdapat juga enam buah kolah pada masa itu dan setiap satunya berukuran kira-kira dua depa panjang.

Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III, barulah binaan itu dibaiki dan diperbesar seperti mana yang ada sekarang ( sebelum tambahan baru ) dengan ditambah tiang-tiang di ruang tengah bahagian dalam, dinding tembok simen, diadakan sutuh dan tiga buah menara. Pembinaannya pada masa itu dikelolakan oleh Tengku Muda Kemaman ( Tengku Panglima Besar ), dan tukangnya pula terdiri daripada orang-orang Melayu dan juga Cina. Tulisan-tulisan kasar yang terdapat di pintu masuk utama telah ditulis oleh Tengku Abdul Kadir bin Salim, manakala lukisan-lukisan kecil pula dilukis oleh Tuan Haji Abdul Rahman.

Mimbar yang ada sekarang dibuat oleh Encik Badul Kadir. Semasa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, perubahan besar telah dibuat dengan tambahan baru yang hampir sekali ganda luasnya dari bangunan asal dan penambahan alat-alat baru. Selain daripada tempat untuk beribadat, masjid ini juga digunakan untuk pelbagai aktiviti-aktiviti keagamaan.

Budaya & Warisan - Loghat Terengganu

Mesti ramai yang nak belajar sangat loghat negeri Terengganu ni, Kat sini saya senaraikan beberapa perkataan yang sering digunakan oleh rakyat Terengganu ... meh sama-sama belajar...

* awang - Panggilan untuk anak/orang lelaki
* mek - Panggilan untuk anak/orang perempuan
* lawo – cantik
* bekeng – garang
* meroh nyaler -  sangat merah
* ija naung – sangat hijau
* sejuk ketto – teramat sejuk
* itang blettung – tersangatlaa hitamnya
* punoh jahnang – rosak teruk
* busuk kohong @ busuk bango– bau busuk sangat
* nakuk paik –.penakut yg amat
* nano - nakal
* nawok - bohong / tipu
* tinggi nyayuk – sangat tinggi
* masing pekkok – teramat masin
* nipih nayyang – sangat nipis
* maknga – cuai
* babil – degil
* puahsang – boring
* nasan – malas
* abih reng – sehabis kuat
* meppeh – tak larat
* kepeh blepeng – sangat kempis
* takdok aghoh – habis ikhtiar
* beso bappok – teramatla besarnya
* manih letting – sgt manis
* ringang lepung – sgt ringan
* bising banggor – teramat bising
* glekek – ketawe menggelekek
* tagor / plekong / kelong / lepor / handing – baling jer
* musing ketang – mencari-cari
* nusuk – menyorok
* bahang – pukul
* tohok – buang
* nanok – masak nasi
* makang – makan
* jallang – jalan-jalan
* makang gulaa – pergi kenduri
* nerrak – meniarap
* tubik – keluar
* lok je – biar je
* wak lolok – tipu

Ayat-ayat yang sering didengari :

1 ) Mu nok gi duane tu awang ? - Kau nak kemana tu (awang panggilan ganti nama untuk lelaki )?

2 ) Dok rok cettong ngak mu ! - Kau ni tak kuat la !

3 ) Manis letting air sirap ni, pier wak eh ? - Manis sangat air sirap ni, siapa yang buat ni?

4 ) Brape riya sekilo ikang ni pok ? - Berapa ringgit ikan ni sekilo pakcik?

5 ) Doh guane yang lambat sangat tu, aku wase dok dang doh nok gi makang gulaa ! - Kenapa yang lambat sangat ni, aku rasa dah tak sempat nak pergi kenduri tu !

6 ) Wak lolok je - tipu jer 

7 ) Doh mari ah makang, yang mu duk cokoh situ tu bakper? - Jom lar makan, yang kau duk tercegat kat situ kenapa?

8 ) Puahsang eh duk dumoh, gi tubik jallang akboh? - Puasnyer duk kat umah, keluar jalan-jalan nak?

Nak belajar lagi? Datanglar terengganu , pasti anda akan belajar lebih banyak loghat orang terengganu....


Destinasi Pilihan - Pantai Tanjung Jara

Tentu ramai yang teringin ingin berkelah di tepi pantai, bersantai bersama keluarga mahupun beriadah bersama orang yang tersayang. So lokasi kali ini amat sesuai untuk mereka yang inginkan ketenangan. Destinasi pilihan pada kali ini adalah Pantai Tanjung Jara yang terletak di Dungun, Terengganu. Lokasinya berdekatan dengan laut china selatan dan mempunyai pasir yang halus & bersih. 

Lokasi ini amat menarik kerana mereka yang datang ke sini akan berpeluang melihat matahari terbit & terbenam dengan diiringi angin yang bertiup lembut.Pantai ini juga lokasi menarik untuk luncur air, menaiki bot, kayak, menyelam dan pelbagai sukan air lain.Lokasi ini juga menjadi pilihan penyu untuk mendarat,kebiasaannya penyu akanbertelur pada bulan Mei hingga September.

Soal penginapan pula tidak menjadi masalah di Pantai Tanjung Jara , disini terdapat pelbagai pilihan penginapan, dari penginapan 5 bintang, hinggalah ke chalet budget. Perjalanan dari Kuala Terengganu mengambil masa lebih kurang 1 jam dengan menggunakan kereta atau kenderaan awam yang lain.

Selamat Bercuti !!

Menu Pilihan - Air Buah Gelas Besar

Menu pilihan kali ni agak menarik, ianya akan menjadi menu wajib setiap kali saya pulang ke kampung halaman di Kuala Terengganu. Air Buah Gelas Besar di seberang takir memang sudah terkenal dari dulu lagi. Bukan sahaja menjadi pilihan pelancong, malah ianya sudah menjadi bualan ahli-ahli politik, menteri-menteri luar dan golongan artis yang pernah mencuba air buah gelas besar ini. 

Air buah disini boleh dikatakan unik kerana saiz gelasnya yang tersangat besar & pelik. Contonhnya disini terdapat gelas yang berbentuk seperti kasut. Selain daripada itu terdapat beberapa pilihan saiz gelas yang boleh dipilih oleh pengunjung.Disini juga terdapat pelbagai jenis buah-buahan disediakan untuk memenuhi permintaan pengunjung dan mereka boleh memilih untuk mencampurkan pelbagai jenis buah-buahan kedalam 1 gelas minuman untuk mendapatkan rasa yang lain dari yang lain.

Selain dari air buah, mereka turut menyediakan pelbagai jenis makan termasuklah keropok lekor, makanan panas, nasi lemak, nasi minyak, laksam, , nasi dagang dan lain-lain lagi.Lokasinya berdekatan dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu. Sekiranya anda melalui jalan seberang takir ini, pasti anda akan melihat deretan kedai air buah gelas besar di kini & kanan jalan. Selamat Menjamu Selera !!

Budaya & Warisan - Bas Bandar

Mak ! Rumah tu bergerak! .. itu lah ungkapan yang pernah saya dengar tatkala berjalan di sekitar Kawasan Shah Bandar di Kuala Terengganu, mungkin melucukan apabila terdengar ungkapan kanak-kanak berusia lebih kurang 6 tahun itu,namun itulah hakikat yang perlu kita terima di mana sebuah rumah bergerak dan mempunyai roda seperti sebuah bas.Itulah keunikkan negeri Terengganu! Sebuah bas yang dicipta menyerupai sebuah rumah. Keunikan hasil ukiran Melayu yang bermotifkan flora dan fauna kini telah ditingkatan penggunaannya yang dulunya hanya digunakan pada ukiran sesebuah rumah, perahu, perabut malah kini telah diguna pakai dalam membina sebuah bas.

Bas bandar ini kini menjadi tarikan bagi pelancong-pelancong yang datang ke Terengganu. Keunikan dan keistimewaan bas ini telah menarik minat ramai pelancong yang datang ke Terengganu untuk menaiki bas ini yang sememang amat berbeza dengan bas-bas yang ada di Malaysia ini.

Bas Bandar ini juga turut menjadi pengangkutan awam bagi penduduk-penduduk di sekitar Kuala Terengganu untuk ke bandar. Kadar tambang yang berpatutan sememang amat berbaloi dengan keselesaan yang keselamatan yang dijaminkan kepada para penumpang.Selain itu juga, bas ini juga menyediakan kerusi yang diperbuat daripada kayu jati yang telah diukir dengan pelbagai corak.

Budaya & Warisan - Songket

Kain Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak. Perkataan songket berasal daripada perkataan sungkit iaitu teknik menyungkit. Industri tenunan songket ini telah berkembang pesat terutamanya di negeri Terengganu. Bunga atau hiasan di kepala kain di tenun mengikut citarasa penenun. Corak atau ragam hias tersebut dikenali dengan nama-nama seperti tapak manggis, pucuk rebung, lawi ayam dan sebagainya.

Tenunan songket ini dilakukan sebagai industri kecil, yang mana kemahiran seseorang penenun itu mengambil masa selama enam minggu untuk menghasilkan sehelai kain songket yang panjangnya di antara 20 hingga 40 meter. Sesuatu yang mengkagumkan tentang seseorang penenun mahir ialah, dia tidak melakar corak songket di atas kertas sebelum kerja-kerja menenun dilakukan sebaliknya ia tercetus daripada daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi lagi unik.

Pada zaman dahulu songket melambangkan kebesaran. Raja-raja dan pembesar-pembesar istana sahaja yang bekemampuan memakainya. Kegunaannya adalah untuk membuat tanjak, samping, kain selendang dan persalinan diraja. Tetapi di zaman moden songket digunakan untuk pakaian pengantin, perhiasan dinding, beg tangan, alas meja, barang-barang cenderamata dan sebagainya mengikut keupayaan pengusaha untuk mempelbagaikannya.setelah sekian lama perusahaan songket berkembang di Malaysia maka kini corak songket mendapat tempat di hati para arkitek. Terdapat beberapa bangunan pencakar langit telah diterapkan dengan corak songket seperti bangunan Perpustakaan Negara Malaysia.

Budaya & Warisan - Canting Batik

Batik merupakan satu bidang kraftangan yang unggul di Terengganu. Sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden. Untuk Pengetahuan semua,batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa 'tik' yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Ambatik pula bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Di alam Melayu, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenalkan sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Terengganu.

Motif adalah corak-corak hiasan yang digunakan dalam proses melukis atau menerap batik. Bentuk-bentuk motif batik dihasilkan dalam dua bentuk utama iaitu Motif Organik dan Motif Geometrik. Motif Organik berunsurkan alam semulajadi seperti awan larat, tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan, dan haiwan.

Penduduk di Malaysia menggunakan batik secara meluas. Batik digunakan untuk membuat baju, kain sarung atau batik lepas. Sebagai contoh, pakaian seragam pramugari kapal terbang MAS dibuat daripada batik. Batik juga digunakan dalam majlis-majlis formal dan majlis keramaian. Selain dibuat pakaian, batik juga digunakan sebagai hiasan seperti alas meja, cadar, sarung kusyen, tudung kepala, alas televisyen dan lain-lain lagi. Batik boleh dibeli dengan harga yang murah dan berpatutan. Batik begitu digemari pelancong-pelancong asing kerana coraknya yang menarik dan unik. Ia sering dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.

Destinasi Pilihan - Bukit Puteri

Destinasi pilihan pada kali ini adalah tempat yang cukup bersejarah bagi masyarakat terengganu khususnya, Destinasi kali ini dikenali sebagai Bukit Puteri.Lokasinya terletak dihadapan Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu dengan ketinggian lebih kurang 200 meter.Mungkin ramai yang ingin mengetahui sejarah disebalik Bukit Puteri ini.

Pada zaman dahulu, Bukit Puteri merupakan sebuah kubu pertahanan dan juga sebagai menara kawalan terhadap para perdagang dan nelayan untuk masuk ke pelabuhan. Kini fungsinya sebagai kota pertahan telah berubah menjadi kawasan sejarah yang penuh dengan pelbagai cerita misteri dan keunikannya yang tersendiri.

Bukit Puteri telah dikenali sebelum pemerintahan Sultan Zainal Abidin I. Menurut cerita orang-orang terdahulu, Bukit Puteri menjadi tempat kediaman kepada Puteri Bunian. Orang-orang kampung pada waktu itu, gemar bertandang berjumpa Tuan Puteri untuk meminjam pinggan mangkuk bagi mengadakan kenduri keramaian. Namun begitu, ada di antara orang-orang kampung tidak memulangkan semula barangan yang dipinjam itu dan ada juga barangan pecah tidak diganti semula. 

Sikap orang kampung yang tidak amanah telah menyebabkan Tuan Puteri merajuk dan membawa diri ke Bukit Bintang di Besut.Pada zaman pentadbiran Sultan Mansur II, kubu kompleks Istana Maziah telah dibina bersebelahan Bukit Puteri. Wujudnya istana di Bukit Puteri telah meningkatkan kegiatan aktiviti perdagangan yang tertumpu di Kedai Hilir, kawasan Kedai Payang dan juga Kampung Cina.

Sewaktu peperangan antara Sultan Mansur II dengan Sultan Omar berlaku, Bukit Puteri dijadikan sebagai benteng pertahanan bagi menjejaki musuh dan melancarkan serangan dengan lebih cepat.Bukit Puteri yang menghadap ke arah Laut China Selatan telah menjadi mercu tanda dan memainkan peranan sebagai pemandu arah kepada para nelayan serta para perdagang memasuki pelabuhan Kuala Terengganu. Bersesuaian dengan corak hidup penduduk tempatan yang kebanyakannya adalah nelayan menjadikan lokasi Bukit Puteri terletak di tempat yang strategik.

Sejarah Di Tererengganu - Istana Nur Nadhirah

Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejarah terbinanya Istana-istana di Terengganu, kali ini saya ingin berkongsi maklumat sejarah Istan Nur Nadhirah di Kuala Terengganu. Setakat yang diketahui, istana ini telah didirikan pada tahun 1920-an iaitu selepas termeterainya perjanjian Terengganu – Inggeris pada tahun 1919 yang antara lain kandungannya mengkehendaki Kerajaan Terengganu menyediakan sebuah rumah sebagai kediaman rasmi Penasihat Inggeris. 

Semasa pemerintahan Jepun, istana ini dijadikan tempat kediaman Gabenornya Shuchiji Kakha ( Shu Chokan Kakha ) manakala semasa pemerintahan Siam pula ia telah dijadikan tempat kediaman Gabenornya. Selepas Perang Dunia Kedua, istana ini dijadikan tempat tinggal Penasihat Inggeris sehingga Disember 1956. Apabila negara mencapai kemerdekaan, istana ini menjadi tempat kediaman rasmi Duli Yang Teramat Mulia Yang DiPertuan Muda Terengganu. Istana ini telah ditukarkan namanya kepada Istana Nur Nadhirah pada tahun 1998

Budaya & Warisan - Beca


Anda pernah naik beca? Mungkin beca dulu tidak sama seperti beca zaman sekarang, uniknya beca di terengganu ni, ada diantara beca-beca disini sudah dilengkapi enjin untuk meringankan beban si pengayuh beca ini.Pada sesiapa yang belum ada pengalamannya bolehlah mencuba menaiki beca disni. Memang seronok kalau dapat menaiki beca ni kerana kenderaan ini bukan seperti kenderaan awam yang lain, tatkala merebahkan diri di tempat duduk beca ini, pasti kita dapat merasai pengalaman orang dulu-dulu yang menjadikan beca sebagai pengakutan awam utama.Jangan sampai tradisi ini pupus baru mengidam nak naik beca.

Beca masih menjadi pilihan di Terengganu ni terutamanya bagi mereka yang inginkan perjalanan jarak dekat di sekitar bandar Kuala Terengganu kerana tambangnya murah jika nak dibandingkan dengan pengangkutan awam yang lain.Kebiasaannya pakcik-pakcik beca ini setia menunggu pelanggan di hadapan Pasar Besar Payang & Stesen Bas Kuala Terengganu.


 Pasti ramai pelancong yang tertarik dengan beca-beca disini kerana mereka menggunakan kreativiti masing-masing dalam menghias beca mereka untuk menarik perhatian pengunjung. Ada diantara beca disini dilengkapi radio, lampu yang pelbagai warna,bunga, dan macam-macam lagi.Kepada sesiapa yang ingin berkunjung ke terengganu, jgn melepaskan peluang untuk mencuba teksi klasik ini...

Destinasi Pilihan - Bazar Warisan

Salah satu destinasi pilihan yang harus dilawati ialah Bazar Warisan yang terletak di hadapan Pasar Besar Payang, Bazar Warisan ini menyediakan ruang perniagaan bagi peniaga-peniaga barangan tradisional buatan Terengganu seperti songket, batik, sutera, barangan tembaga, kraftangan dan banyak lagi. Kebanyakannya, produk-produk ialah hasil daripada kerja tangan masyarakat terengganu sendiri. Harga yang ditawarkan juga amatlah berpatutan, yang penting pandai tawar menawar.



Bangunan yang mempunyai rekabentuk tradisional ini telah berjaya menarik ramai pelancong yang datang ke negeri Terengganu. Bazar Warisan ini juga menyedikan satu medan selera yang meyediakan masakan panas terutama masakan asli Terengganu.Kepada sesiapa yang  berhajat untuk mendapatkan buah tangan atau cenderahati untuk keluarga atau sahabat, jangan lupa singgah di Bazar Warisan ini untuk melihat barang-barang yang dijual disini.

Budaya & Warisan - Bot Penambang

Pada zaman dahulu, pengangkutan bot menjadi pilihan utama masyarakat di Terengganu kerana Kuala Terengganu terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Kuala Terengganu Utara & Kuala Terengganu Selatan. Sungai Terengganu yang menjadi pemisah kepada dua bahagian ini. Namun kini, setelah Jambatan Sultan Mahmud diwujudkan, pengangkutan air tidak lagi mendapat sambutan. Namun,tradisi ini masih dikekalkan bagi mereka yang masih memerlukan bot sebagai pegangkutan wajib mereka.

Bot penambang amat terkenal dikalangan masyarakat seberang takir dan pulau duyung kerana mereka lebih gemar menggunakan pengakutan air berbanding darat kerana jaraknya lebih dekat. Jeti di Seberang Takir terletak berhampiran masjid tanjung seberang takir. Perjalanan hanya mengambil masa selama 5minit untuk ke bandar.

Kedudukan jeti dibahagian bandar juga amat strategik kerana ianya berada betul-betul dihadapan Bazar Warisan dan bersebelahan dengan Pasar Payang. Ini juga merupakan salah satu sebab mengapa kebanyakan masyarakat sekitar seberang takir dan Pulau Duyung lebih gemar menggunakan penggangkutan ini. Selain itu juga para pelancong juga boleh menggunakan bot penambang ini untuk ke kampung seberang takir yang terkenal dengan aktiviti pemprosesan keropok lekor, ikan kering dan batik. Sememang harga yang ditawarkan lebih murah berbanding tempat lain.

Selain digunakan untuk menghantar penumpang ke bandar, bot penambang ini juga menyediakan perkhidmatan untuk mengililingi sungai terengganu. Dengan menaiki bot penambang ini, para penumpang boleh menikmati keindahan sungai terengganu malah mereka dapat melihat keunikan taman tamadun islam lebih dekat dari sudut yang berbeza.

Budaya & Warisan - Permainan Gasing

Di terengganu, terlalu banyak permainan tradisional yang dimainkan oleh generasi terdahulu masih dipraktikkan oleh generasi baru, namun ia tidaklah se"GAH" pada masa dulu., hanya minoriti masyarakat di terengganu yang masih bermain gasing.Gasing merupakan sejenis permainan yang  berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik. Gasing merupakan permainan tradisional orang-orang Melayu sejak dahulu lagi. Biasanya dimainkan selepas musim menuai. Permainan gasing dipertandingkan antara kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.

Gasing dibuat daripada kayu bebaru, kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang. Kayu tersebut akan ditakik-takik dan dikikis sehingga menjadi bentuk bulat & leper.Tali gasing dibuat daripada kulit pokok bebaru. Tapi sekarang tali gasing dibuat daripada tali nilon. Panjang tali gasing biasanya bergantung kepada panjang tangan seseorang. biasanya 1 meter panjang. Minyak kelapa digunakan untuk melicinkan pergerakan tali gasing.

Kaedah bermain gasing dahulu dan sekarang tidak banyak perbezaannya.Pada zaman dahulu , permainan gasing di Terengganu tidak teratur dan berlainan antara satu daerah dengan daerah yang lain. Pelbagai bentuk, saiz dan kegunaan gasing membezakan sifat gasing dan membentuk sistem permainan yang turut berbeza. Dalam permainan gasing, semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah, mengangkat, menegak dan membela uri gasing.

Memangkah adalah satu gerakan yang penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran supaya gasing akan menghasilkan uri yang ligat, tegak dan kuat. Tedapat empat gaya pangkahan yang biasa digunakan oleh pemain dalam apa juga pertandingan, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang dan pangkah tebang.

Makanan Pilihan - Sotong Celup Tepung

Setelah sekian lama tak post artikel kat blog ni, hari ni baru ada kelapangan skit nak bercerita... sotong celup tepung mungkin menjadi hidangan wajib bagi mereka yang berkunjung di Kuala Terengganu. Selain dari sotong, ada lagi hidangan lain seperti ikan,udang,ketam dan lain-lain makanan laut yang disalut tepung , tapi kali ini saya ingin berkongsi berkenaan sotong sahaja.

Lokasi terbaik untuk menikmati sotong celup tepung sudah tentu di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir . Kalau ada pengunjung yang tidak tahu arah untuk ke Pantai Teluk Ketapang, ianya terletak di belakang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Terengganu. Keenakkan sotong celup tepung disini tidak dapat dinafikan kerana mereka menggunakan sotong yang segar selain sos yang sangat sedap. Harga yang mereka tawarkan pula amat berpatutan. Kebiasaannya harga untuk sepinggan sotong celup tepung ialah RM 5.

Makanan pilihan kali ini sesuai untuk dinikmati diwaktu petang bersama keluarga & rakan-rakan sambil menghirup udara segar & nyaman di tepi laut. Majoriti pengunjung yang pernah menikmati keenakkan sotong celup tepung disini tidak akan melepaskan peluang untuk datang kesini lagi. So kepada sesiapa yang datang ke Terengganu, jgn lupa untuk singgah di Pantai Teluk Ketapang untuk menikmati makanan pilihan kali ini..

Destinasi Pilihan - Hutan Lipur @ Lata Tembakah


Satu lagi destinasi pilihan yang perlu dikunjung iaitu Lata Tembakah, ianya terletak di Hutan Simpan Pelagat dalam Daerah Besut. Lokasinya lebih kurang 130 km dari pusat bandar Kuala Terengganu dan merangkumi kawasan seluas 300 hekta.
Lata Tembahkan ini menjadi tarikan pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar negeri disebabkan oleh beberapa keistimewaan yang terdapat disini seperti tumbuh-tumbuhan semulajadi, sungai yang bersih, air terjun yang menarik dan kolam-kolam semulajadi yang sangat sesuai untuk tujuan untuk perkelahan bersama keluarga.

Di sini amat popular sebagai destinasi untuk menjalankan aktiviti perkhemahan. Setiap hujung minggu ataupun cuti sekolah, tempat ini tidak pernah sunyi kerana sentiasa dihidupkan dengan kem kesedaran bina insan, jati diri,pengakap, kadet polis dan lain-lain lagi.

Lata Tembakah menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk setempat malah mereka yang tinggal di luar kawasan Besut. Jambatan gantung yang disediakan selain air terjun dan batu batan yang cantik sememangnya cukup menyejukkan mata yang memandang

Destinasi Pilihan - Hutan Lipur @ Air Terjun Sekayu

Destinasi pilihan yang seterusnya terletak di Hulu Terengganu, Jaraknya lebih kurang 56 km dari pusat bandar Kuala Terengganu. Destinasi kali ini ialah Hutan lipur sekayu atau lebih dikenali juga dengan air terjun sekayu berlokasi di dalam kawasan hutan simpanan hulu terengganu tambahan. Mengikut maklumat yang diterima, Hutan lipur sekayu mempunyai keluasan lebih kurang 405 hektar dan mempunyai pelbagai spesis tumbuhan dan pokok yang terdapat di hutan ini termasuklah pokok-pokok yang mempunyai khasiat perubatan yang tinggi.

Bagi mereka yang menggemari aktiviti riadah seperti jungle tracking & perkhemahan, disini disediakan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan tersebut seperti tempat penginapan, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tempat berkhemah, jalan dalam hutan (jungle tracking) dan lain-lain lagi.

Keunikan hutan lipur ini ialah terdapat sebuah air terjun 3 peringkat yang cantik dan mempersonakan yang ianya merupakan daya tarikan utama kepada pengunjung ke sini tidak kira pengunjung dari dalam dan luar negeri. Air sungainya yang jernih dan sejuk membuatkan sesiapa sahaja melupakan segala masalah apabila mereka datang berkunjung ke sini.

Related Posts with Thumbnails